Tragedi Rampasan Kuasa

‘TRAGEDI HITAM RAMPASAN KUASA DI PERAK…’ Feb 6th, 2009 By Webmaster Category: Isi II
Oleh : Mohd Ezli Mashut (LL.B (Hons) UIAM
Laman Blog : www.ezli007.blogspot.com / email :ezli007.blogspot.com /
No Tel : 017-6543974
‘Rampasan kuasa oleh UMNO/Barisan Nasional di Perak Darul Ridzuan merupakan tragedi hitam kepada sistem demokrasi di Malaysia. Ia umpama merobek kuasa rakyat dengan melalui taktik kuasa wang, ancaman dan ugutan. Apa yang berlaku tidak ubah sepertimana tindakan Kerajaan Zionist Israel yang tidak menghormati pilihan rakyat Palestin apabila memilih HAMAS sebagai kuasa pentadbir …’
‘Dalam PRU-12 DUN Perak, Pakatan Rakyat mendapat 442,660 undi dan BN 399,565 undi (berdasarkan undi polular). Ini menunjukkan 43,095 lebih undi daripada BN. Menafikan pilihanraya baru adalah satu ketidakadilan’….
Situasi politik di Perak semakin meruncing dan rumit. Kejutan politik yang berlaku kini akan menjadi lipatan sejarah hitam tragedi demokrasi kuasa rakyat di Perak Darul Ridzuan. Detik itu juga akan dikenang sebagai hari ‘Kejatuhan Kerajaan Rakyat Perak ‘ ataupun ‘The Fall Of Perak People Kingdom’ kerana saat itu kuasa wang menjadi raja di sana. Taktik kotor dan jijik itu seumpama tindakan Zionist Israel yang tidak mengiktiraf Kerajaan Hamas yang menjadi pilihan rakyat Palestin untuk mentadbir wilayah tersebut.
Tindakan tidak bermaruah ini iaitu penculikan politik, ancam dan ugut juga sebenarnya telah merampas kuasa pilihan rakyat yang telah membuat pilihan sewaktu 08hb Mac 2008. Kuasa yang sah pilihan rakyat ini juga sewajarnya dipelihara dan dihormati oleh semua pihak khususnya kepada ahli-ahli DUN yang telah diberi amanah untuk menjalankan tanggungjawab.
Sebenarnya rampasan kuasa rakyat ini hanya memberi persepsi dan gambaran jelas keadaan UMNO/BN sudah berada di penghujung kuasa dan pengaruh atau ‘The End Of BN Era’. Jika benar UMNO/BN masih mendapat sokongan rakyat, kepimpinan mereka tidak perlu gentar untuk berhadapan dalam PRU-13 atau pembubaran DUN. Rampasan kuasa ini juga menjadi bukti UMNO/BN sanggup ‘by hook or by crook’ melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa tanpa mempedulikan kuasa pilihan rakyat Perak yang telah menobatkan Pakatan Rakyat untuk menerajui kepimpinan Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Pada asasnya kini tindakan UMNO/BN merampas kuasa melalui tindakannya hanya akan menyebabkan kerajaan yang dibina bertunjangkan asas-asas yang cukup lemah. Dijangkakan usia kerajaan rampasan kuasa ini hanya akan berkuasa dalam tempoh yang pendek dan penuh pergolakkan. Strategi yang telah dilaksanakan juga akan menjadi asas terbaik untuk Pakatan Rakyat membuka pintu Putrajaya yang dijangka berlaku pada sidang Parlimen bermula 16hb Februari 2009.
Mengikut pemerhatian kita pertukaran kuasa melalui tindakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dan kabinetnya yang mengikut kehendak lunas-lunas Perlembagaan Malaysia diyakini bakal berlaku antara minggu keempat dan kelima iaitu antara 09hb Mac 2009 sehingga 19hb Mac 2009 ini. Tarikh tersebut amat sesuai untuk pertukaran kuasa kerana saat itu juga UMNO sedang bergelut di saat akhirnya jawatan-jawatan tertinggi yang akan menjadi faktor berpecahnya perpaduan UMNO secara total.
Tempoh 11 bulan Perak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat walaupun satu waktu yang begitu singkat boleh diumpamakan sebagaimana pemerintahan Khalifah Agung Umar Abdul Aziz. Walaupun tempoh pemerintahan Umar Abdul Aziz hanya 2 setengah tahun, era tersebut dikenang sebagai kemuncak tempoh paling gemilang tamadun Islam. Usia pemerintahan yang singkat bukan menjadi faktor penghalang untuk melaksanakan usaha perubahan dan reformatif. 11 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat akan terus dikenang oleh rakyat Perak generasi akan datang sebagai era tempoh paling gemilang dalam erti kuasa rakyat kuasa keramat.
Rampasan kuasa oleh UMNO/BN ini boleh diibaratkan sepertimana taktik yang digunakan oleh pihak Zionist Israel dalam menghadapi tentangan daripada pimpinan Hamas di Palestin. Kita melihat gaya dan taktik ala-Mossad ini mula menyerap dalam taktik UMNO/BN di Malaysia. Ketika seluruh dunia mengutuk tindakan kejam serangan Zionist Israel kepada rakyat Palestin. Rupa-rupanya masih ada rakyat Malaysia yang meniru-niru gaya dan taktik pihak yang kejam dan zalim itu.
Kerajaan Rakyat Perak Darul Ridzuan perlu dipertahankan. Kita melihat tokoh-tokoh pahlawan negeri Perak selama ini yang menjadi pejuang pembebasan menentang penjajah dahulu kini semangatnya kembali memugar. Ketika saat penjajah datang dahulu tokoh-tokoh pejuang seperti Dato Maharajalela, Tok Sagor dan para ulama menunjukkan semangat mempertahankan tanahair dan agama daripada dirobek oleh para penjajah. Tetapi hari ini walaupun penjajah sudah lama diusir tetapi pemikiran dan tindakan UMNO/BN tidak ubah seperti penjajah yang datang ke Perak untuk merampas hak kuasa rakyat melalui rampasan kuasa.Kini pejuang-pejuang yang mempertahankan kuasa rakyat akan menjadi benteng kepada kedaulatan Perak Darul Ridzuan.
Memetik satu catatan bersejarah negeri Perak :
Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat di dalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair “Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya” sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.
Gambaran sejarah di atas menceritakan saat kegemilangan Negeri Perak pada ketika itu. Mungkin gambaran di atas juga akan tercatat dalam sejarah Perak di mana tahun antara Mac 2008 sehingga Feb 2009 akan dikenang sebagai zaman kegemilangan Perak di mana dipimpin oleh seorang Menteri Besar yang mempunyai kredibiliti dan karektor yang tersendiri. Namun episod bersejarah kebangkitan rakyat negeri Perak dalam mempertahankan Kerajaan Rakyat Perak baru sahaja bermula.
Rampasan kuasa terbaru oleh UMNO/BN ini dilihat akan menjadi titik tolak kepada penolakkan rakyat Perak Darul Ridzuan secara total dalam PRU-13. Apabila kuasa rakyat sudah diinjak-injak oleh penguasa korup ini maka letusan kebangkitan rakyat akan diterjemahkan dengan penolakkan secara total terhadap tindakan yang tidak berpelembagaan dan menolak majoriti pilihan rakyat. Ini adalah episod baru perjuangan rakyat yang akan berterusan bermula detik hari ini. Setelah 11 bulan mandat rakyat dinobat, hari ini menjadi saksi mandat itu dirampas dengan rakusnya oleh UMNO/BN.
Berikut adalah beberapa komen menarik yang dipetik dalam laman Facebook Mohammad Nizar Jamaluddin yang menjadi bukti sokongan tidak berbelah-bagi rakyat Perak dan Malaysia.
Nor Sahidah Bt Hamid wrote at 10:12pm
Tidak pernah sekali pun pemimpin tertinggi BN yang berjiwa seperti dato sri. Sanggup memberi kuliah subuh di setiap masjid. memberi tazkirah di surau-surau jabatan kerajaan.Semua dilakukan tanpa sambutan carpet,kompang dan imbuhan. Boleh menjadi imam dengan wirid yang panjang. Talkin kan jenazah, memberi khutbah tanpa teks. Anak2 yang berjaya dunia…
Mohd Shahrir wrote at 10:14pm
Mereka (BN) tewas kepada nafsu dan ketamakan untuk merampas kuasa..kebencian yang meluap dikalangan seluruh rakyat akan akan terbayar juga Insya Allah…Dato’ Seri terus bersabar. Demi Allah dan Rasul, kebatilan tidak pernah kekal. Allah bersama-sama orang yang sabar
Dheva Naveendran Appavoo wrote at 9:43pm
dato seri, i’ve always regarded you as a very good leader and at this point of time where we are facing this diemma, you can be well assured that all the RAKYAT is in support of you and our prayers will always be there for you and the entire PAKATAN RAKYAT.
Mohd Ezli Mashut wrote at 11:56pm
Rampasan kuasa ini akan menjadi detik kebangkitan rakyat untuk terus mengangkat martabat Pakatan Rakyat di Malaysia. Tragedi ini umpama tindakan Zionist Israel yang menzalimi Hamas di Palestin…Ayuh bangkit rakyat pertahan Kerajaan Rakyat Perak…Sehingga artikel ini ditulis komen-komen sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin terus diterima daripada seluruh pelusuk negeri dan dunia. Ini menjadi bukti bahawa sokongan rakyat semakin meningkat. Intelek rakyat pada hari ini tidak boleh dipermain-mainkan lagi oleh putaran media yang bias dan mengampu.
Rampasan kuasa ini tidak akan berakhir sehingga rakyat kembali bersuara dan menunjukkan kuasa keramatnya. Kita yakin di akhir episod kemelut politik di Perak ini akan lahir hero-hero rakyat yang akan terus mempertahankan kuasa keramat rakyat.
Akhirnya, rampasan kuasa ini akan terus dikutuk sepanjang generasi akan datang. Buku-buku sejarah akan mencatatkan peristiwa hitam ini sebagai detik matinya kuasa rakyat. Namun sejarah perjuangan ini masih bermula. Anda yang sedang membaca ini adalah bakal-bakal hero dan pejuang yang akan menghiasi buku-buku sejarah akan datang jika menjadi benteng pertahanan terakhir mempertahankan kuasa Kerajaan Rakyat Perak Darul Ridzuan. Ayuh..rakyat Malaysia semua kita bangkit pertahan perjuangan kita daripada tindakan dayus dan zalim ini.

0 kritikan yang diterima:

 
Copyright © SEBUAH KARYA AGUNG